Peranan ulama dalam silat
![]() |
MAT Kilau seorang pahlawan agung yang berjuang menentang penjajahan Inggeris.
|
BARANGKALI perbicaraan yang menyentuh secara langsung tentang
persilatan adalah masih sangat langka. Keterlibatan penulis dalam
membicarakan perkara persilatan ini juga amat sedikit berbanding
penulisan-penulisan selainnya.
Jenis-jenis silat memang banyak penulis ketahui, namun penulis
bukanlah seorang pelajar mengenai bidang itu secara tekun tetapi
hanyalah sebagai pemerhati saja. Di antara silat-silat yang penulis
ketahui ialah Silat Pengian, Silat Kuntau, Silat Harimau, Silat Buton
Kalidupa, Silat Bugis Bone, Silat Sinding, Silat Pukul Tujuh, Silat
Minangkabau, Silat Cekak, Silat Gayung, Silat Gayung Patani, Silat Abjad
dan Al-Mu'azat.
Peranan ulama dalam silat hanya dapat penulis tonjolkan kepada
pemikiran Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan keterlibatan Sheikh
Abdus Shamad al-Falimbani dalam jihad fi sabilillah.
Kedua-dua ulama besar yang sangat terkenal itu dipercayai menggunakan
'senjata' qalam untuk mengajar umat Melayu dna juga senjata pedang
unutk perjuangan di medan jihad fi sabilillah demi mempertahankan
kesucian Islam dan watan daripada penjajah.
Jika kita anggap ilmu silat adalah untuk mempertahankan diri peribadi, jihad pula adalah mempertahankan Islam dan tanah air.
Jadi kedua-dua ulama kita itu adalah lebih agung, kerana banyak jenis silat yang dikuasainya. Yang dimaksudkan di sini ialah:
*silat menggunakan qalam/pena,
*silat kalam/lidah,
*silat menggunakan siasah/politik, dan lain-lain termasuklah
*silat ketangkasan di medan juang yang sebahagiannya dijadikan sebagai satu cadang seni atau budaya.
Pelajaran silat dalam Kerajaan Pontianak
Tidaklah janggal pada kesempatan ini penulis mulakan petikan mengenai
silat yang termaktub dalam sebuah manuskrip "Syair Kerajaan Pontianak".
Kerajaan Pontianak (Indonesia) memang bukan dalam Malaysia, tetapi
adalah sebuah kerajaan Melayu yang didirikan oleh Syarif Abdur Rahman
bin Habib Husein al-Qadri yang direstui dan dirasmikan oleh pahlawan
Melayu-Bugis, Raja Haji bin Upu Daeng Celak.
Raja Haji pula adalah seorang pahlawan Melayu agung sesudah Hang
Tuah, kerana hampir keseluruhan negeri-negeri Melayu pernah
dikunjunginya. Akhir riwayat Raja Haji gugur sebagai syahid fi
sabilillah di Teluk Ketapang, Melaka.
Syair Kerajaan Pontianak ditulis beberapa tahun setelah berdirinya
Kerajaan Melayu-Islam Pontianak, dalam petikan tersebut juga jelas
mencerminkan minat dan kesungguhan Sultan Syarif Abdur Rahman bin Habib
Husein al-Qadri terhadap seni dan budaya silat. Untuk lebih jelas dan
merupakan dokumen sejarah persilatan Melayu, Bab Silat dalam Syair
Kerajaan Pontianak penulis sebutkan beberapa petikan awal darinya,
iaitu:
Setelah sudah berperi-peri,
baginda berangkat lalu berdiri
Panggilkan Mat Raiyat suruh ke mari,
serta dengan Wan Bakari.
Wan Ahmad, Wan Bakar datanglah sudah,
kepada baginda tunduk menyembah
Dengan segeranya baginda bertitah,
Adalah sedikit hendak diperintah.
Baginda tersenyum seraya berkata,
Jikalau suka rasanya cita
Tuan-tuan yang muda ajarkan kita,
diajarkan silat bermain senjata.
Tuan ajarkan padan-padan,
boleh dilihat usulnya badan
Bagaimana di dalam contoh teladan,
yang mana patut main di medan.
*Tulisan Sheikh Daud Abdullah Al-Fathani mengenai jihad dalam Islam
Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah ulama besar dunia Melayu
yang terlibat langsung bersama-sama Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani
dalam medan jihad melawan pencerobohan Siam di bumi Patani Darus Salam.
Tulisan-tulisan beliau mengenai hukum jihad telah penulis perkenalkan
dalam penulisan-penulisan sebelum ini, di mana jelas menggambarkan
bahawa Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah seorang ulama pejuang
Islam sebenar dan sejati serta bertanggungjawab terhadap ummah dan watan
Melayu daripada segala macam bentuk penjajahan kuffar.
Sebagai tambahan, di sini penulis petik pula pandangan Sheikh Daud
bin Abdullah al-Fathani tentang jihad yang beliau tulis dalam kitab Bughyat at-Thullab.
Transliterasi selengkapnya ialah: "Dan setengah daripadanya, perang
sabil bagi kuffar, yakni wajib bagi Imam itu pergi perang kepada negeri
mereka itu, maka iaitu fardu kifayah dengan ijmak. Atau Naib Imam pergi
dengan tentera kerana perang bagi mereka itu.
"Atau diperbaiki akan kota yang antaranya dan antara negeri mereka
itu, serta diteguhkan dia, dan ditaruhkan senjatanya, dan orang yang
menunggu padanya sekira-kira memadai melawan akan mereka itu. Maka
hendaklah diperbuat akan salah suatu daripada keduanya maka gugurlah
fardu kifayahnya. Ini jika tiada mereka itu datang kepada negeri kita.
"Maka jika datang ia kepada negeri Islam maka jadilah fardu ain atas
tiap-tiap seorang daripada negeri yang ia masuk itu, hingga perempuan
dan sahaya orang ... " (Bughyat at-Thullab, jilid 1, hlm. 95).
Ulasan dan pandangan, daripada kalimatnya "Maka jika datang ia kepada
negeri Islam ... " dapat kita bandingkan peristiwa penjajahan bangsa
Barat-Belanda dan Inggeris di dunia Melayu pada zaman Sheikh Daud bin
Abdullah al-Fathani dengan peristiwa Amerika, pengganas terbesar dunia,
yang telah menjajah Afghanistan dan Iraq.
Sebagaimana telah disebutkan bahawa Belanda dan Inggeris telah
menjajah dunia Melayu, perlu pula dinyatakan di sini bahawa Patani juga
tidak terlepas daripada dijajah, bukan oleh bangsa Barat tetapi oleh
Siam. Semua penjajah yang tersebut adalah bukan agama Islam kerana
mereka telah menjajah negeri Islam.
Oleh itu, menurut Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani pada sambungan
kalimat di atas bahawa "jadilah fardu ain atas tiap-tiap seorang
daripada negeri yang ia masuk itu, hingga perempuan dan sahaya orang
..." berperang atau jihad terhadap mereka. Bangsa-bangsa yang telah
menjajah dunia Melayu, adalah bukan beragama Islam.
Oleh itu fenomena yang berlaku sekarang, tuduhan umat Islam sebagai
pengganas adalah tidak berasas sama sekali, kerana tidak terdapat dalam
sejarah bahawa bangsa-bangsa yang beragama Islam datang menjadi penjajah
di dunia Melayu.
Sebenarnya bangsa-bangsa penjajah itulah yang layak dilabelkan sebagai pengganas atau terrorist
atau penzalim. Gelaran tersebut terdapat dua golongan yang sedang
bermusuhan, yang pertama ialah pengganas yang sedang berkuasa
(pemerintah) dan yang kedua ialah pengganas yang tidak berkuasa
(rakyat).
Perjuangan jihad yang pernah dilakukan oleh ulama kita seperti Sheikh
Abdus Shamad al-Falimbani, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, dan
lain-lain tidak dapat disamakan dengan kedua-dua golongan pengganas yang
tersebut di atas, kerana jihad Islam adalah cukup jelas berdasarkan
perintah daripada Allah dan para Rasul-Nya. Siapa saja yang berjihad
menurut perintah Allah dan Rasul-Nya adalah benar, tidak terdapat
keraguan di dalamnya.
Oleh itu, wajib dipertahankan kebenaran dan kesuciannya daripada
pentafsiran-pentafsiran yang tidak betul disusun demikian rapi oleh
pihak-pihak tertentu yang telah merasa lazat makanan dan minuman segar
tetapi beracun yang mereka peroleh dari musuh-musuh Islam.
Mengenai membuat persiapan sebagai benteng pertahanan dapat kita
ketahui dari kalimat beliau, "Atau diperbaiki akan kota yang antaranya
dan antara negeri mereka itu, serta diteguhkan dia ...".
Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyentuh pula tentang persiapan
persenjataan dengan sambungan kalimatnya "dan ditaruhkan senjatanya"
maksudnya bahawa dalam benteng pertahanan perlulah ada tersimpan
persenjataan yang cukup dan siap digunakan apabila diperlukan.
Patriotik bangsa adalah sangat diperlukan, yang beliau gambarkan pada
sambungan kalimatnya "dan orang yang menunggu padanya sekira-kira
memadai melawan akan mereka itu". Kalimat ini dapat dihubungkaitkan
dengan "ilmu silat" kerana orang Melayu yang sanggup melawan musuh pada
zaman itu perlu mempunyai ketangkasan.
Ketangkasan dalam bentuk fizik adalah mempelajari ilmu silat. Dan
tidak dapat dinafikan diperlukan "kekuatan dalaman" atau "mental" atau
"rohani". Baik Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani mahu pun Sheikh Daud bin
Abdullah al-Fathani juga pernah mengijazahkan wirid-wirid pertahanan
diri untuk menghadapi musuh dalam peperangan.
Wirid pertahanan diri Sheikh Abdus Shamad Al-Falimbani
Untuk memantapkan keyakinan diri menghadapi jihad, dalam karyanya berjudul Mulhik fi Bayanil Fawa'id an-Nafi'ah fil Jihadi fi Sabilillah
atau judul terjemahan oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani sendiri
iaitu "Suatu Perhubungan Pada Menyatakan Akan Beberapa Faedah Di Dalam
Perang Sabilillah", beliau membahagi dalam risalah tersebut kepada empat
bahagian, iaitu:
lFaedah Yang Pertama Pada Menyatakan Ayat Quran Yang Jadi 'Azimat
Yang Manfaat Di Dalam Perang Sabilillah, Dan Peliharaan Yang Menegahkan
Daripada Kejahatan Orang Kafir.
lFaedah Yang Kedua Pada Menyatakan Doa Yang Manfaat Di Dalam Perang Sabilillah Dan Lainnya.
lFaedah Yang Ketiga Pada Menyatakan Doa Yang Membinasakan Bagi Segala Seteru, Dan Bagi Sejahtera Daripada Kejahatan Seteru.
lFaedah Yang Keempat Pada Menyatakan Doa Membinasakan Seteru, Dan
Segala Kafir, Dan Bagi Sejahtera Daripada Kejahatan Mereka Itu.
Salah satu amalan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani pernah diterima oleh pahlawan Mat Kilau. Mengenai ini termaktub dalam Kitab Mat Kilau,
cetakan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, 1970, hlm. 23, iaitu "Ini doa
diambil daripada Sheikh Abdus Shamad Palembang, siapa yang mengamalkan
doa ini nescaya tidak mengenai padanya pedang, atau panah, atau segala
rupa kejahatan dari seteru ... "Yang disebut dalam Kitab Mat Kilau itu memang termaktub dalam karya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani tersebut yang beliau tempatkan pada Faedah Yang Kedua.
Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani telah menterjemahkan wirid untuk
perang itu daripada bahasa Arab ke bahasa Melayu. Dalam empat buah
karangan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga membicarakan wirid
yang sama, di antaranya dalam kitab Mun-yat al-Mushalli. Selengkapnya lihat Mun-yat al-Mushalli yang telah penulis transliterasi (lihat terbitan Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, 1424 H/2003 M hlm. 96-98).
Walau bagaimanapun, tidak terdapat terjemahan wirid itu oleh Sheikh
Daud bin Abdullah al-Fathani seperti yang dilakukan oleh Sheikh Abdus
Shamad al-Falimbani. Perlu juga penulis sentuh di sini bahawa dalam
terjemahan wirid Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani tersebut ada
hubungkait dengan persilatan. Bahawa ilmu silat yang pernah penulis
pelajari adalah melalui tiga jalan, iaitu:
*Belajar secara fizik di gelanggang.
*Belajar wirid-wirid yang boleh mendatang gerak dengan sendirinya.
*Mengabungkan pelajaran fizik dan wirid.
Pada Faedah Yang Keempat wirid Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani
terdapat satu doa yang sama dengan yang diamalkan dalam Silat
Al-Mu'azat. Walaupun dalam Silat Al-Mu'azat tidak mempelajari gerak
fizik, tetapi apabila mengamalkan wirid, maka gerak fizik akan datang
dengan sendirinya.
Silat Al-Mu'azat pernah dikembangkan di Johor oleh Raja Haji Muhammad
Yunus Ahmad dalam tahun 1970-an. Wirid yang diamalkan oleh Sheikh Abdus
Shamad al-Falimbani, yang sama dengan amalan dalam Silat Al-Mu'azat
itu, lebih lengkap ditulis oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani
dalam kitab Ward az-Zawahir (lihat hlm. 189).
Kesimpulan dan penutup
Dari semua yang telah dibicarakan di atas penulis berpendapat bahawa:
lSeni dan budaya persilatan diajarkan dalam dua bentuk, iaitu dalam gerak fizik dan kerohanian.
lIlmu persilatan yang menggunakan wirid, hizib, doa, dan yang sejenis
dengannya adalah berasal dari ajaran Islam yang benar. Sebaliknya tidak
dapat dinafikan terdapat juga yang menggunakan mantera, jampi, serapah,
dan yang sejenis dengannya. Mengenai ini sukar dijejaki sumber-sumber
asal hingga ke atasnya. Oleh itu, ada yang boleh diamal dan digunakan.
Sebaliknya ada pula yang mengandungi unsur khurafat yang menjerumuskan
ke arah syirik yang bertentangan dengan akidah Islam.
lUlama-ulama Nusantara yang terlibat dalam jihad fi sabilillah
mempunyai asas ilmu menggunakan senjata. Mereka memiliki ilmu ketahanan
diri yang bersambung dari satu guru ke satu guru hingga sampai kepada
pahlawan-pahlawan Islam terdahulu bahkan sumber amalan ada yang berasal
dari Rasulullah SAW sendiri.
lUlama-ulama Nusantara yang melakukan jihad fi sabilillah demi untuk
memperjuangkan Islam dan mempertahankan negeri-negeri Melayu dari
dijajah oleh bangsa yang bukan Islam adalah wajib diteruskan secara
bersambung dari satu generasi ke generasi yang berikutnya.
Sekianlah yang dapat disampaikan pada ruangan kali ini, mudah-mudah
kita dapat menghidupkan seni dan budaya yang dibenarkan syarak dan
mengetepikan apa saja seni dan budaya yang bertentangan dengan syarak.
Mudah-mudahan hanya pemikiran ulama yang betul saja yang menjadi
ikutan dan pemikiran yang tiada betul walau dari siapa pun datangnya
supaya dihindari oleh-Nya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0615&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz3G01ryM2D
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment