Sunday, 12 October 2014

PERANAN ULAMA DALAM SILAT

ARKIB : 15/06/2009

Peranan ulama dalam silat


MAT Kilau seorang pahlawan agung yang berjuang menentang penjajahan Inggeris.


BARANGKALI perbicaraan yang menyentuh secara langsung tentang persilatan adalah masih sangat langka. Keterlibatan penulis dalam membicarakan perkara persilatan ini juga amat sedikit berbanding penulisan-penulisan selainnya.

Oleh itu, kelemahan-kelemahan dalam perbicaraan ini rasanya sangat banyak, apatah lagi dunia persilatan hanyalah penulis kenali sewaktu masih kanak-kanak dan ditinggalkan begitu lama, sejak tahun 1960-an.

Jenis-jenis silat memang banyak penulis ketahui, namun penulis bukanlah seorang pelajar mengenai bidang itu secara tekun tetapi hanyalah sebagai pemerhati saja. Di antara silat-silat yang penulis ketahui ialah Silat Pengian, Silat Kuntau, Silat Harimau, Silat Buton Kalidupa, Silat Bugis Bone, Silat Sinding, Silat Pukul Tujuh, Silat Minangkabau, Silat Cekak, Silat Gayung, Silat Gayung Patani, Silat Abjad dan Al-Mu'azat. 

Peranan ulama dalam silat hanya dapat penulis tonjolkan kepada pemikiran Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan keterlibatan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam jihad fi sabilillah.

Kedua-dua ulama besar yang sangat terkenal itu dipercayai menggunakan 'senjata' qalam untuk mengajar umat Melayu dna juga senjata pedang unutk perjuangan di medan jihad fi sabilillah demi mempertahankan kesucian Islam dan watan daripada penjajah. 

Jika kita anggap ilmu silat adalah untuk mempertahankan diri peribadi, jihad pula adalah mempertahankan Islam dan tanah air. 

Jadi kedua-dua ulama kita itu adalah lebih agung, kerana banyak jenis silat yang dikuasainya. Yang dimaksudkan di sini ialah:
*silat menggunakan qalam/pena,
*silat kalam/lidah,
*silat menggunakan siasah/politik, dan lain-lain termasuklah
*silat ketangkasan di medan juang yang sebahagiannya dijadikan sebagai satu cadang seni atau budaya. 

Pelajaran silat dalam Kerajaan Pontianak

Tidaklah janggal pada kesempatan ini penulis mulakan petikan mengenai silat yang termaktub dalam sebuah manuskrip "Syair Kerajaan Pontianak". 

Kerajaan Pontianak (Indonesia) memang bukan dalam Malaysia, tetapi adalah sebuah kerajaan Melayu yang didirikan oleh Syarif Abdur Rahman bin Habib Husein al-Qadri yang direstui dan dirasmikan oleh pahlawan Melayu-Bugis, Raja Haji bin Upu Daeng Celak. 

Raja Haji pula adalah seorang pahlawan Melayu agung sesudah Hang Tuah, kerana hampir keseluruhan negeri-negeri Melayu pernah dikunjunginya. Akhir riwayat Raja Haji gugur sebagai syahid fi sabilillah di Teluk Ketapang, Melaka. 

Syair Kerajaan Pontianak ditulis beberapa tahun setelah berdirinya Kerajaan Melayu-Islam Pontianak, dalam petikan tersebut juga jelas mencerminkan minat dan kesungguhan Sultan Syarif Abdur Rahman bin Habib Husein al-Qadri terhadap seni dan budaya silat. Untuk lebih jelas dan merupakan dokumen sejarah persilatan Melayu, Bab Silat dalam Syair Kerajaan Pontianak penulis sebutkan beberapa petikan awal darinya, iaitu:

Setelah sudah berperi-peri,
baginda berangkat lalu berdiri
Panggilkan Mat Raiyat suruh ke mari,
serta dengan Wan Bakari.
Wan Ahmad, Wan Bakar datanglah sudah,
kepada baginda tunduk menyembah
Dengan segeranya baginda bertitah,
Adalah sedikit hendak diperintah.
Baginda tersenyum seraya berkata,
Jikalau suka rasanya cita
Tuan-tuan yang muda ajarkan kita,
diajarkan silat bermain senjata.
Tuan ajarkan padan-padan,
boleh dilihat usulnya badan
Bagaimana di dalam contoh teladan,
yang mana patut main di medan.

*Tulisan Sheikh Daud Abdullah Al-Fathani mengenai jihad dalam Islam 


Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah ulama besar dunia Melayu yang terlibat langsung bersama-sama Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam medan jihad melawan pencerobohan Siam di bumi Patani Darus Salam. 

Tulisan-tulisan beliau mengenai hukum jihad telah penulis perkenalkan dalam penulisan-penulisan sebelum ini, di mana jelas menggambarkan bahawa Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah seorang ulama pejuang Islam sebenar dan sejati serta bertanggungjawab terhadap ummah dan watan Melayu daripada segala macam bentuk penjajahan kuffar. 

Sebagai tambahan, di sini penulis petik pula pandangan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani tentang jihad yang beliau tulis dalam kitab Bughyat at-Thullab

Transliterasi selengkapnya ialah: "Dan setengah daripadanya, perang sabil bagi kuffar, yakni wajib bagi Imam itu pergi perang kepada negeri mereka itu, maka iaitu fardu kifayah dengan ijmak. Atau Naib Imam pergi dengan tentera kerana perang bagi mereka itu. 

"Atau diperbaiki akan kota yang antaranya dan antara negeri mereka itu, serta diteguhkan dia, dan ditaruhkan senjatanya, dan orang yang menunggu padanya sekira-kira memadai melawan akan mereka itu. Maka hendaklah diperbuat akan salah suatu daripada keduanya maka gugurlah fardu kifayahnya. Ini jika tiada mereka itu datang kepada negeri kita. 

"Maka jika datang ia kepada negeri Islam maka jadilah fardu ain atas tiap-tiap seorang daripada negeri yang ia masuk itu, hingga perempuan dan sahaya orang ... " (Bughyat at-Thullab, jilid 1, hlm. 95). 

Ulasan dan pandangan, daripada kalimatnya "Maka jika datang ia kepada negeri Islam ... " dapat kita bandingkan peristiwa penjajahan bangsa Barat-Belanda dan Inggeris di dunia Melayu pada zaman Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dengan peristiwa Amerika, pengganas terbesar dunia, yang telah menjajah Afghanistan dan Iraq.

Sebagaimana telah disebutkan bahawa Belanda dan Inggeris telah menjajah dunia Melayu, perlu pula dinyatakan di sini bahawa Patani juga tidak terlepas daripada dijajah, bukan oleh bangsa Barat tetapi oleh Siam. Semua penjajah yang tersebut adalah bukan agama Islam kerana mereka telah menjajah negeri Islam.
Oleh itu, menurut Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani pada sambungan kalimat di atas bahawa "jadilah fardu ain atas tiap-tiap seorang daripada negeri yang ia masuk itu, hingga perempuan dan sahaya orang ..." berperang atau jihad terhadap mereka. Bangsa-bangsa yang telah menjajah dunia Melayu, adalah bukan beragama Islam. 

Oleh itu fenomena yang berlaku sekarang, tuduhan umat Islam sebagai pengganas adalah tidak berasas sama sekali, kerana tidak terdapat dalam sejarah bahawa bangsa-bangsa yang beragama Islam datang menjadi penjajah di dunia Melayu. 

Sebenarnya bangsa-bangsa penjajah itulah yang layak dilabelkan sebagai pengganas atau terrorist atau penzalim. Gelaran tersebut terdapat dua golongan yang sedang bermusuhan, yang pertama ialah pengganas yang sedang berkuasa (pemerintah) dan yang kedua ialah pengganas yang tidak berkuasa (rakyat). 

Perjuangan jihad yang pernah dilakukan oleh ulama kita seperti Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, dan lain-lain tidak dapat disamakan dengan kedua-dua golongan pengganas yang tersebut di atas, kerana jihad Islam adalah cukup jelas berdasarkan perintah daripada Allah dan para Rasul-Nya. Siapa saja yang berjihad menurut perintah Allah dan Rasul-Nya adalah benar, tidak terdapat keraguan di dalamnya. 

Oleh itu, wajib dipertahankan kebenaran dan kesuciannya daripada pentafsiran-pentafsiran yang tidak betul disusun demikian rapi oleh pihak-pihak tertentu yang telah merasa lazat makanan dan minuman segar tetapi beracun yang mereka peroleh dari musuh-musuh Islam. 

Mengenai membuat persiapan sebagai benteng pertahanan dapat kita ketahui dari kalimat beliau, "Atau diperbaiki akan kota yang antaranya dan antara negeri mereka itu, serta diteguhkan dia ...". 

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyentuh pula tentang persiapan persenjataan dengan sambungan kalimatnya "dan ditaruhkan senjatanya" maksudnya bahawa dalam benteng pertahanan perlulah ada tersimpan persenjataan yang cukup dan siap digunakan apabila diperlukan.

Patriotik bangsa adalah sangat diperlukan, yang beliau gambarkan pada sambungan kalimatnya "dan orang yang menunggu padanya sekira-kira memadai melawan akan mereka itu". Kalimat ini dapat dihubungkaitkan dengan "ilmu silat" kerana orang Melayu yang sanggup melawan musuh pada zaman itu perlu mempunyai ketangkasan.

Ketangkasan dalam bentuk fizik adalah mempelajari ilmu silat. Dan tidak dapat dinafikan diperlukan "kekuatan dalaman" atau "mental" atau "rohani". Baik Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani mahu pun Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga pernah mengijazahkan wirid-wirid pertahanan diri untuk menghadapi musuh dalam peperangan.

Wirid pertahanan diri Sheikh Abdus Shamad Al-Falimbani

Untuk memantapkan keyakinan diri menghadapi jihad, dalam karyanya berjudul Mulhik fi Bayanil Fawa'id an-Nafi'ah fil Jihadi fi Sabilillah atau judul terjemahan oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani sendiri iaitu "Suatu Perhubungan Pada Menyatakan Akan Beberapa Faedah Di Dalam Perang Sabilillah", beliau membahagi dalam risalah tersebut kepada empat bahagian, iaitu: 

lFaedah Yang Pertama Pada Menyatakan Ayat Quran Yang Jadi 'Azimat Yang Manfaat Di Dalam Perang Sabilillah, Dan Peliharaan Yang Menegahkan Daripada Kejahatan Orang Kafir.
lFaedah Yang Kedua Pada Menyatakan Doa Yang Manfaat Di Dalam Perang Sabilillah Dan Lainnya.
lFaedah Yang Ketiga Pada Menyatakan Doa Yang Membinasakan Bagi Segala Seteru, Dan Bagi Sejahtera Daripada Kejahatan Seteru.
lFaedah Yang Keempat Pada Menyatakan Doa Membinasakan Seteru, Dan Segala Kafir, Dan Bagi Sejahtera Daripada Kejahatan Mereka Itu.

Salah satu amalan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani pernah diterima oleh pahlawan Mat Kilau. Mengenai ini termaktub dalam Kitab Mat Kilau, cetakan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, 1970, hlm. 23, iaitu "Ini doa diambil daripada Sheikh Abdus Shamad Palembang, siapa yang mengamalkan doa ini nescaya tidak mengenai padanya pedang, atau panah, atau segala rupa kejahatan dari seteru ... "Yang disebut dalam Kitab Mat Kilau itu memang termaktub dalam karya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani tersebut yang beliau tempatkan pada Faedah Yang Kedua. 

Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani telah menterjemahkan wirid untuk perang itu daripada bahasa Arab ke bahasa Melayu. Dalam empat buah karangan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga membicarakan wirid yang sama, di antaranya dalam kitab Mun-yat al-Mushalli. Selengkapnya lihat Mun-yat al-Mushalli yang telah penulis transliterasi (lihat terbitan Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, 1424 H/2003 M hlm. 96-98). 

Walau bagaimanapun, tidak terdapat terjemahan wirid itu oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani seperti yang dilakukan oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani. Perlu juga penulis sentuh di sini bahawa dalam terjemahan wirid Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani tersebut ada hubungkait dengan persilatan. Bahawa ilmu silat yang pernah penulis pelajari adalah melalui tiga jalan, iaitu:
*Belajar secara fizik di gelanggang.
*Belajar wirid-wirid yang boleh mendatang gerak dengan sendirinya.
*Mengabungkan pelajaran fizik dan wirid.

Pada Faedah Yang Keempat wirid Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani terdapat satu doa yang sama dengan yang diamalkan dalam Silat Al-Mu'azat. Walaupun dalam Silat Al-Mu'azat tidak mempelajari gerak fizik, tetapi apabila mengamalkan wirid, maka gerak fizik akan datang dengan sendirinya. 

Silat Al-Mu'azat pernah dikembangkan di Johor oleh Raja Haji Muhammad Yunus Ahmad dalam tahun 1970-an. Wirid yang diamalkan oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, yang sama dengan amalan dalam Silat Al-Mu'azat itu, lebih lengkap ditulis oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam kitab Ward az-Zawahir (lihat hlm. 189). 

Kesimpulan dan penutup

Dari semua yang telah dibicarakan di atas penulis berpendapat bahawa:

lSeni dan budaya persilatan diajarkan dalam dua bentuk, iaitu dalam gerak fizik dan kerohanian. 

lIlmu persilatan yang menggunakan wirid, hizib, doa, dan yang sejenis dengannya adalah berasal dari ajaran Islam yang benar. Sebaliknya tidak dapat dinafikan terdapat juga yang menggunakan mantera, jampi, serapah, dan yang sejenis dengannya. Mengenai ini sukar dijejaki sumber-sumber asal hingga ke atasnya. Oleh itu, ada yang boleh diamal dan digunakan. Sebaliknya ada pula yang mengandungi unsur khurafat yang menjerumuskan ke arah syirik yang bertentangan dengan akidah Islam. 

lUlama-ulama Nusantara yang terlibat dalam jihad fi sabilillah mempunyai asas ilmu menggunakan senjata. Mereka memiliki ilmu ketahanan diri yang bersambung dari satu guru ke satu guru hingga sampai kepada pahlawan-pahlawan Islam terdahulu bahkan sumber amalan ada yang berasal dari Rasulullah SAW sendiri. 

lUlama-ulama Nusantara yang melakukan jihad fi sabilillah demi untuk memperjuangkan Islam dan mempertahankan negeri-negeri Melayu dari dijajah oleh bangsa yang bukan Islam adalah wajib diteruskan secara bersambung dari satu generasi ke generasi yang berikutnya. 

Sekianlah yang dapat disampaikan pada ruangan kali ini, mudah-mudah kita dapat menghidupkan seni dan budaya yang dibenarkan syarak dan mengetepikan apa saja seni dan budaya yang bertentangan dengan syarak. 

Mudah-mudahan hanya pemikiran ulama yang betul saja yang menjadi ikutan dan pemikiran yang tiada betul walau dari siapa pun datangnya supaya dihindari oleh-Nya.
 

Tuesday, 21 January 2014

Selamat datang ke blog Perguruan Sinar Ilham

Mula-mula sekali, diperkenalkan dahulu di manakah gurunya tinggal. Beliau tinggal seperti mana dalam peta Google Map di atas.

Lebih jelas lagi, pada gambar ke-2, lebih jelas kelihatan rumah beliau.

Anak murid tak lah ramai. Cuma .... kesemua anak murid beliau adalah menjadi "manusiawi" semuanya. Tak dak yang belajar silat dengan beliau lepas tu jadi gengster. Semuanya berjaya dalam hidup dan bekerja dengan jawatan yang baik-baik belaka. Seorangnya menjadi imam masjid di salah satu kampus UiTM di Malaysia ni. Ada pulak sorang yang menjadi tukang batu permata di muzium sultan Brunei. Ada sorang yang jadi cikgu le... aku la tu.

Secara tuntasnya, aku akan menulis di blog ini apa-apa yang berkaitan dengan pengalaman aku dan kengkawan akau yang belajar silat dengan beliau. Jasanya yang paling besar pada aku dan kengkawan aku ialah ... beliau mengajar kami untuk menjadi manusia yang mengenal Allah dan tunduk serta patuh kepada Nya. Kalau di sekolah, ustaz-ustaz memberi dan mengajar agama. Bila ke gelanggang, beliau mendidikkan agama yang kami belajar itu kepada amal.

Mungkin kalau tak bertemu dan berkawan dengan beliau, kami dah terhanyut oleh dek godaan dunia yang datang bagaikan ombak besar yang menghanyutkan ke tengah laut. Berbanding dengan remaja-remaja lain yang satu sekolah, kawan-kawan sekolah banyak yang hanyut dulu baru jadi baik, tapi kami selamat, tak terhanyut walaupun bukanlah baik sangat. Tapi solat tak tinggallah ...

Sekian dulu buat penulisan pertama.

7 Petua Mematahkan / Mengelakkan Sihir Pada Diri

Pengertian Sihir

Syeikh al-Azhar membuat penta'rifan bahawa sihir ialah amalan perbuatan yang dilakukan dengan cara mendekatkan diri kepada syaitan dan meminta tolong kepadanya. Asal pengertian kalimah sihir itu ialah memalingkan sesuatu dari hakikatnya kepada yang selainnya. Maka orang yang kena sihir melihat kebatilan sebagai kebenaran dan membayangkan sesuatu tidak menurut yang sebenarnya.Manakala dalam kamus Muhit disebut :

"Sihir ialah mengeluarkan sesuatu dalam bentuk penampilannya yang terbaik sehingga sesuatu itu mempersona dan mengkagumkan bagi orang memandangnya."


Pengertian Sihir Dari Segi Syariah


Pendapat Ibn Qudamah al-Maqdisi berkata:
Sihir ialah ikatan,jampi dan perkataan yang diucapakan atau ditulis atau dibuat sesuatau yang mendatangkan kesan dan akibat terhadap tubuh orang yang disihir atau terhadap hati dan akal tanpa menyentuhnya secara langsung.

Maka dengan taarif ini dapatlah disimpul bahawa sihir adalah hasil kesepakatan antara penyihir dan syaitan.Biasanya syaitan akan berjanji kepada tukang sihir bahawa penyihir mesti melakukan sebahagian perbuatan yang diharamkan atau hal-hal yang mengandungi unsur syirik sebagai imbalan bantuan dan ketaatan syaitan terhadapnya untuk menyampaikan apa yang berkaitan dengan perkara yang dingininya




Cara Untuk Mematahkan Sihir


Petua 1 :

  • Sentiasa berada dalam keadaan wuduk sepanjang hari. 
  • Selagi kita dalam berwuduk selagi itulah sihir tidak dapat menembusi.

Petua 2 :
  • Amalkan selalu minum air limau nipis. 
  • Baca 3 Qul dan selawat syifak, minum air tersebut dan baki ¼ nya siram air tersebut ke atas kepala. 
  • Jika sihir yang baharu kena akan gugur.

Petua 3 :
  • Amalkan mandi limau nipis sebanyak 7 biji. 
  • Potong limau tersebut dan campurkan sedikit garam bukit. Gaulkan campuran tersebut. 
  • Mandi pakai kain basahan, tutup lubang tandas jika bilik air ada tandas. Jika bilik air sekali dengan tandas, baca ayat kursi dalam hati siram air limau tadi bermula dari kepala ke bawah. 
  • Ambil limau nipis yg dipotong tadi gosokkan bermula dari kepala ke bawah. 
  • Lepas mandi kain basahan jangan diperah dan badan jangan dilap biarkan dia kering sendiri. 
  • Lepaskan kain basahan ke bawah jangan membuang kain basahan ke atas. 
  • Limau nipis lepas mandian tadi dipungut dan dibuang ke dalam sungai di mana airnya mengalir. 
  • Amalan ini patut diamal seminggu sekali. 
  • Jika istiqamah mengamal amalan ini, sukar terkena sihir/buatan manusia jahat. 
  • Amalan ini juga elok diamalkan bila badan rasa lemah dan bila terasa nak demam. 
  • Limau nipis dan garam mempunyai aura tersendiri yang menggetarkan gelombang yang tidak disukai oleh makhluk halus. Dengan itu ia akan keluar dari badan kita. Dengan kata lain jika kita di sihirkan, sihir akan gugur.

Petua 4:
  • Amalkan membaca surah Al Jin setiap malam.

Petua 5:
  • Wirid Bismillah 7, sebanyak 3 kali lepas subuh dan Asar.

Petua 6:
  • Untuk mengelak rumah disihir ambil segenggam garam baca 3 Qul dan tabur garam tersebut di hadapan pagar depan dan belakang rumah anda.

Petua 7 :
  • Tidur dengan berwuduk dan membaca 3 Qul lalu disapu ke seluruh badan, kecuali kawasan kemaluan, untuk memagarkan diri.

SUMBER :  kakisembang.com


Tuesday, 1 October 2013

Rahsia Wirid Dengan Surah Al-Fatihah

Kita mungkin tahu apa itu surah Al-Fatihah dan kita mungkin boleh membacanya atau menghafal surat tersebut (mana yang tak boleh baca atau menghafalnya tak apa, pintu taubat masih terbuka), tetapi tahukah kita disebalik surah tersebut terdapat rahsia dan hikmatnya yang kita mungkin tidak tahu. Nak tahu rahsia dan hikmatnya?
Fatihah Seribu Faedah

Sesiapa yang mengekalkan membaca Al-Fatihah diantara sembahyang sunat subuh dengan fardhu subuh sebanyak 41 kali tidak ia:
  • Meminta pangkat melainkan ia dapat
  • Ia miskin melainkan jadi kaya
  • Ia berhutang melainkan dibayar Allah akan hutangnya.
  • Ia sakit melainkan disembuhkan oleh Allah.
  • Ia lemah melainkan dikuatkan.
  • Ia berdagang dinegeri orang melainkan dimuliakan orang, dikasehi dan sampai cita-citanya.

Fatihah Mengembalikan Pangkat

Sesiapa yang telah dipecat dari pekerjaannya atau jatuh pangkat yang disandang olehnya dan ia ingin kembali mendapatkan pangkatnya semula:

Hendaklah ia membaca Fatihah sebanyak 40 kali diantara sunat subuh dan fardhunya selama 40 hari (jangan kurang dari bilangannya dan jangan putus). Insyaallah dikembalikan pangkatnya atau dapat ia menyandang pangkat yang lebih tinggi. PERCAYALAH KEPADA KUDRAT TUHAN.
Fatihah Mendapat Zuriat

Sesiapa yang mandul dan tidak mendapat anak sedangkan ia inginkan anak, amalkan surah Al-Fatihah sebagaimana kaedah dan peraturan ini:

41 kali membaca Fatihah selama 40 hari dengan tidak putus dan tidak kurang. Masanya adalah antara sunat subuh dan fardhunya. Insyaallah akan mendapat ia anak yang soleh dan baik.
Fatihah Sakit Mata
Jika sesiapa yang mengidap sakit mata sama ada lama atau baru, dan diatas apa sifatnya sekalipun, hendaklah ia membaca Fatihah dengan niat meminta:

i) Sembuh penyakit matanya
ii) Pulih pandangannya.
iii) Menurut peraturan yang telah disebutkan diatas iaitu : 41 kali membaca Fatihah selama 40 hari diantara sembahyang sunat subuh dan fardhunya. Insyaallah akan sembuh penyakit mata itu.

Fatihah Di atas Kapas

Sesiapa membaca Fatihah sebanyak 7 kali, kemudian diludahkan diatas sekeping kapas dan ditampalkan pada tempat yang kudis atau luka atau apa sahaja penyakit kulit, akan bercantum lukanya dan sembuh kudisnya dengan izin
Allah.
Wirid Fatihah

Sesiapa yang membaca Fatihah sebanyak 100 kali sehari pada tiap-tiap lepas sembahyang sebanyak 20 kali, akan ia:
  1. Dimurahkan rezekinya
  2. Diperbaiki hal ehwalnya
  3. Dibersihkan hatinya
  4. Diangkat darjatnya
  5. Dimudahkan pekerjaannya
  6. Dilepaskan ia dari dukacita
  7. Dijauhkan dari mudharat
  8. Diberi ia kerajinan dan semangat
  9. Tidak kecewa
  10. Jauh dari hasutan syaitan
  11. Diilhamkan kepadanya kebajikan

Dinding Di masa Tidur


Sesiapa membaca Fatihah sekali tatkala meletakkan kepalanya kerana hendak tidur, kemudian ia membaca:
Qul Huwallah Hu Ahad     -     3 kali
Qul A'uzubirabbil falaq        -     1 kali
Qul A'uzubirabbin Nas        -     1 kali
Terselamat ia dari segala kejahatan dan mudharat serta menjadi dinding dari syaitan dan segala makhluk yang akan merasuk dalam masa ia tidur.


akhawat sekalian...
Sama-samalah kita mengamalkannya..
sebaik-baik penawar ialah ayat alquran...